Lebih 200 belia mewakili beberapa institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan berhimpun di pintu masuk bangunan Parlimen hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan berhubung nahas Penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS).

Mula berhimpun seawal 7.30 pagi, mereka turut mengenakan baju hitam bertulis #justice4mh17 selain memegang sepanduk dengan mesej serupa serta mengibarkan Jalur Gemilang.

Anak bongsu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd Norashman, turut dilihat hadir memberi sokongan bersama rakan-rakannya.

"Kami ingin menyampaikan mesej kepada orang awam dan anggota Parlimen bahawa golongan belia turut terkesan dengan insiden menyayat hati ini dan bersimpati dengan keluarga dan rakan mangsa," kata Mohd Norashman ketika ditemui pemberita.

Najib hari ini membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat.

Pesawat MAS yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak sebelum terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777 itu membawa 298 orang merangkumi 283 penumpang pelbagai warganegara dan 15 anak kapal warga Malaysia.