Kerajaan Malaysia terus melakukan segala usaha bagi mendapatkan keadilan sepenuhnya dan penjelasan memuaskan mengenai perkara berkaitan pesawat Malaysian Airlines Penerbangan MH17, yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine, dua tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia terus memperjuangkan keadilan tentang perkara itu melalui saluran undang-undang antarabangsa.

"Dua tahun lepas, Penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Ia suatu perbuatan jenayah yang menimbulkan kemarahan dunia dan menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya maut.

"Kami tidak akan sekali-kali melupakan penumpang dan anak kapal berkenaan, juga kepiluan yang dirasai keluarga mangsa. Doa dan harapan kami mengiringi mereka dalam melalui hari-hari yang amat menyedihkan itu," kata Najib dalam catatan melalui akaun Facebook dan Twitter beliau hari ini.


Pesawat jenis Boeing B777 itu, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia berharap akan menerima rumusan awal laporan penyelidikan forensik mengenai Penerbangan MH17 oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), yang dianggotai Australia, Brazil, Belgium, Belanda dan Ukraine, menjelang akhir tahun ini, termasuk jenis senjata yang digunakan dan maklumat penting lain secara terperinci.

Pesawat malang itu ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan dilanda ketegangan di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu permukaan ke udara Buk di ruang udara timur Ukraine.

Laporan itu dikeluarkan selepas pasukan penyiasat bersama dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia menjalankan siasatan selama 15 bulan.