Semua perkembangan terkini dalam siasatan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine adalah petunjuk penting yang akan dikumpul dalam laporan teknikal penuh pada Oktober nanti.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini sewaktu diminta mengulas laporan AFP semalam yang menyatakan kumpulan penyiasat antarabangsa telah mengenal pasti serpihan daripada sistem peluru berpandu darat-ke-udara BUK di tapak nahas.

"Semua maklumat dan penemuan sebegitu akan dimuatkan dalam laporan teknikal penuh pada Oktober nanti.

"Sejurus ia dibuat dan mengikut ketetapan dalam Lampiran ke-13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kita berharap akan dapat mengetahui apa yang sebenarnya dijumpai di timur Ukraine dan butiran punca nahas," kata beliau.

Menurutnya, semua pihak tahu bahawa pesawat itu telah dihentam dengan objek bertenaga tinggi namun laporan penuh akan memberi jawapan terperinci mengenainya.

"Masih terlalu awal untuk mengesahkan apa-apa dan laporan belum ada pada saya.

"Kita tidak boleh berspekulasi tentang jenis peluru berpandu atau siapa pemiliknya. Kita tunggu saja laporan akhir pada Oktober," ujar beliau ketika ditemui media selepas beliau perasmian Pusat 4S Glenmarie Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd di Temasya Industrial Park di sini.

Pasukan penyiasat dalam kes tersebut memberitahu bahawa mereka telah mengenal pasti serpihan yang 'dipercayai' datang daripada peluru berpandu darat-ke-udara BUK buatan Rusia di timur Ukraine, tempat pesawat MH17 ditembak jatuh.

Pesawat MH17 telah ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu hingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal sewaktu melintasi ruang udara kawasan konflik peperangan antara tentera Kiev dan pejuang pemisah pro-Rusia.