Malaysia akan menghantar satu pasukan peringkat tertinggi ke Beijing untuk memberi taklimat serta perkembangan mengenai situasi MH370 kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pasukan itu akan terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS).

"Saya ingin mengumumkan bahawa sebagai tambahan dari pasukan yang sedia ada, Malaysia sedang mengumpulkan sebuah pasukan pegawai peringkat tertinggi yang akan diterbangkan segera ke Beijing.

"Pasukan itu akan memberi taklimat dan perkembangan kepada keluarga (penumpang dan anak kapal) mengenai situasi terkini, dan juga pelan mencari dan menyelamat," kata Hishammuddin dalam sidang media harian di Hotel Sama-Sama, Sepang, petang Rabu.

Katanya, pasukan itu akan diketuai oleh Komander Operasi Udara TUDM, Leftenan-Jeneral Datuk Seri Ackbal Haji Abdul Samad dan dibantu oleh Pengarah DCA, Ahmad Nizar Zolfakar serta seorang juruterbang kanan Boeing 777.

Di Beijing, keluarga penumpang MH370 dari China meluahkan kekecewaan mereka apabila masih gagal mendapat jawapan tentang kehilangan pesawat milik MAS itu meskipun misi pencarian telah memasuki hari ke-12, lapor AFP.

Menurut keluarga-keluarga itu, mereka tiada cara lain selain meluahkan isi hati mereka dengan rasa marah dan menangis, serta menunjukkan isyarat tangan dengan bengis ke arah wakil MAS.

Kejadian tersebut berlaku ketika sesi pertemuan pegawai penerbangan dengan keluarga tersebut di sebuah hotel di Beijing, China.

Operasi mengesan pesawat MH370 dipergiatkan dengan penglibatan lebih banyak pihak dan kawasan carian yang lebih luas serta kemunculan beberapa kemungkinan baru mengenai kehilangan pesawat itu.

Operasi yang diketuai oleh Malaysia disertai oleh pasukan tentera Amerika Syarikat dan negara serantau termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, melibatkan gerakan dari udara dan laut.

Penerbangan MH370 milik MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lepas.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.