Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian bagi kehilangan seseorang yang tidak diketahui kedudukannya.

Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Abdul Hadi berkata maklumat yang dihasilkan daripada satelit adalah tidak terperinci.

"Tetapi itu terpulang pada kerajaanlah untuk menentukan hal-hal (sabit kematian) seperti ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada 8 Mac.