MIC perlu memberitahu perkara yang sebenarnya kepada masyarakat India bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu mengubah nasib masyarakat itu.

Ia perlu bekerja keras untuk memperjelaskan transformasi yang dilaksanakan kerajaan bagi mengembalikan sokongan masyarakat India kepada BN.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menegaskan perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan masyarakat India tidak terus ditipu pakatan pembangkang.

Najib, yang berucap ketika majlis Perhimpunan Agung MIC ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi, mengulangi kenyataan bahawa undi untuk pembangkang pada pilihan raya umum akan datang adalah undi untuk kehancuran.

Justeru BN memerlukan sokongan padu daripada seluruh rakyat termasuk masyarakat India untuk memberi mandat yang kuat agar segala program yang direncanakan dapat dijayakan.