NATIONAL
MIDA akan memperkukuh kerjasama PPP bagi pelaburan hijau

Sikh Shamsul Ibrahim berkata, PPP menjadi kaedah penting dalam mengembangkan pelaburan hijau di Malaysia dengan memudahkan mobilisasi kewangan, perkongsian risiko dan penggunaan pesat teknologi mampan. - Gambar MIDA
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mahu memperkukuh kerjasama melalui perkongsian awam-swasta (PPP) untuk meningkatkan pelaburan hijau di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan dalam projek tenaga boleh baharu (TBB) telah menunjukkan aliran yang memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, sektor TBB merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM2.1 bilion merentas 807 projek -- peningkatan 48 peratus dari segi nilai pelaburan dan kenaikan 52 peratus dari segi bilangan projek berbanding pada 2023.
"Ini menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap sektor TBB Malaysia," katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Jerman-Malaysia kelima, di sini, pada Selasa.Beliau berkata, PPP menjadi kaedah penting dalam mengembangkan pelaburan hijau di Malaysia dengan memudahkan mobilisasi kewangan, perkongsian risiko dan penggunaan pesat teknologi mampan.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata, bagi mengukuhkan komitmen untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, Malaysia telah memperkenalkan beberapa inisiatif dan dasar utama PPP termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi hijaunya.
Beliau berkata, Jerman kekal sebagai sekutu penting dalam menyokong wawasan Malaysia untuk kemampanan dan pertumbuhan inklusif.
Pada 2024, Jerman disenaraikan sebagai pelabur langsung asing kedua terbesar di Malaysia, dengan pelaburan berjumlah RM32.2 bilion dan penciptaan hampir 2,560 pekerjaan merentas pelbagai sektor, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami