KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis capai sasaran jualan eksport RM2.1 bilion menerusi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-19 (MIHAS 2023) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Matrade, Abu Bakar Yusof menjangkakan pameran kali ini lebih meriah ekoran pembukaan sempadan China yang merupakan rakan dagang utama Malaysia.

MIHAS: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2023, dijangka lebih meriah

“Sehingga kini, MIHAS menerima sambutan positif dan luar biasa daripada pempamer tempatan dan antarabangsa.

“Kesemua 1,500 reruai ataupun tapak pameran fizikal telah pun dipenuhi,” jelasnya.

Menurut Abu Bakar, perkembangan positf yang diterima oleh MIHAS didorong oleh peningkatan aliran pergerakan domestik dan antarabangsa.

“Hasil kajian Global Business Travel Association (GBTA) terkini menjangkakan peningkatan bagi perjalananan perniagaan tahun ini.”

Tambah beliau, 78 peratus responden kajian merupakan golongan professional pengembara perniagaan.

MIHAS 2023 disasarkan akan menarik sebanyak 1,000 pempamer daripada 40 buah negara termasuk China, Indonesia, Korea Selatan, Palestin, Turki, Sepanyol dengan 35,000 kehadiran pengunjung.

Edisi kali ini akan meneruskan inisiatif pendigitalan industri halal dengan mengetengahkan konsep pameran secara hibrid iaitu gabungan fizikal dan maya dengan tema  “Menerajui Dunia Halal”.

MIHAS ke-19 meneruskan penganjuran komponen utama pameran iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Hab Pengetahuan dan Anugerah Reruai MIHAS.

Selaku hab halal dunia terbesar, Abu Bakar berharap penganjuran MIHAS 2023 mampu menarik banyak penglibatan sektor perusahaan mikro, kecil, sederhana (PMKS) dalam industri tersebut.

“Dengan sokongan MITI, Matrade sentiasa mencari kaedah lain untuk memperkasakan produk dan eksport halal, sekali gus memperkukuhkan ekosistem industri halal,” kata beliau dalam program Niaga AWANI pada Selasa.

Tahun lalu, MIHAS Edisi ke-18 mencatatkan jumlah jualan RM2.36 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM1.9 bilion.

“Di bawah pelan induk industri halal, kita menjangkakan pada 2030, kita akan mencatatkan eksport produk dan perkhidmatan halal sebanyak RM75 bilion.” ujarnya optimis.