MEXICO CITY: Ribuan peminat bola sepak membanjiri jalan utama di ibu negara Mexico pada Sabtu bagi melakukan aksi ‘Mexican Wave’ sebagai sebahagian daripada acara pelancaran menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Perhimpunan besar-besaran itu berlangsung di sepanjang laluan ikonik Paseo de la Reforma dan turut memperingati ulang tahun ke-40 fenomena sorakan stadium berkenaan yang mencetuskan perhatian global pada Piala Dunia 1986 di Mexico.
Menurut laporan Reuters, para peserta yang memakai jersi hijau pasukan kebangsaan serta mengibarkan bendera Mexico berbaris sejauh hampir dua kilometer.
Mereka mengangkat tangan secara berurutan bagi menghasilkan pergerakan ombak manusia yang beralun sepanjang laluan tersebut.
Pihak penganjur mendakwa aksi itu berpotensi mencipta rekod baharu dunia bagi kategori ‘Mexican Wave’ terbesar, namun pengesahan rasmi daripada Guinness World Records masih belum diperoleh.
Selain itu, acara berkenaan turut menampilkan persembahan tarian tradisional serta peserta berpakaian kostum kebudayaan bertemakan perayaan Day of the Dead.