PUTRAJAYA: Seorang buruh terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas kesalahannya mengedar dadah methamphetamine seberat 63.7 gram, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail sebaliknya mensabitkan Ahmad Tajuddin Mansor, 56, selaku perayu atas kesalahan memiliki dadah itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap 29 Jun 2016 terhadap perayu.

"Dengan mengambil kira berat dadah dalam kes ini ialah 63.7 gram, mahkamah sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap (29 Jun 2016) dan disebabkan perayu berumur 56 tahun, maka dia terselamat daripada hukuman sebatan.

"Oleh itu, hukuman dan sabitan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun," kata Hakim Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Ahmad Tajuddin didakwa memiliki methamphetamine seberat 63.7 gram di sebuah rumah di Taman Puteri Lagenda, Gurun, Kedah pada 12.30 tengah hari, 29 Jun 2016, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Pada 9 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bapa anak empat itu selepas didapati bersalah mengedar dadah di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB yang memperuntukkan hukuman mati.

Terdahulu, peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili Ahmad Tajuddin memaklumkan mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan pihak pembelaan pada 3 Jan lepas bagi mengetepikan hukuman gantung diterima Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi tersebut dan memohon mahkamah menggantikan Seksyen 39B(1)(a) ADB kepada Seksyen 12(2) ADB iaitu memiliki dadah.

"Oleh itu, bagi hukuman di bawah kesalahan memiliki dadah, pihak pendakwaan memohon supaya hukuman penjara 12 tahun dikenakan terhadap perayu," kata Fauziah.

Muhammad Syawal pula memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkap pada 29 Jun 2016.

"Saya mohon supaya hukuman penjara 10 tahun dikenakan terhadap anak guam memandangkan tidak lama lagi akan menyambut bulan Ramadan. Anak guam telah insaf, serik dan bertaubat atas perbuatan dilakukan," kata peguam itu.

-- BERNAMA