ALOR SETAR: Lima pelajar antarabangsa termasuklah tiga remaja Amerika Syarikat memperolehi pengalaman berharga apabila berpeluang belajar memasak bubur kanji Kedah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Katherine Higgins, 16, berkata, dia berasa seronok untuk menimba pengalaman baharu mengenali masakan bubur terkenal di Kedah.

Katherine berkata, dia juga tidak sabar untuk memasak bubur itu,walaupun perlu membiasakan diri memasak dalam keadaan cuaca agak panas.

"Saya dan rakan-rakan buat pertama kalinya diajar tentang proses penyediaan dan memasak bubur kanji Kedah.

"Jadi, memang satu pengalaman menyeronokkan dan berharga sekali gus tidak akan dilupakan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katherine antara sukarelawan program AFS Kedah Branch ditemui pada program Kenduri Kanji Kedah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) di Muzium Negeri Kedah, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengurus Besar Adabi, Datuk Jaafar Abdul Ghani.

Pengalaman sama turut dirasai Josephina William, 16, yang mengakui teruja untuk belajar memasak kanji Kedah.

Kata pelajar SMK Padang Serai itu, dia berpeluang memotong bahan-bahan masakan termasuklah bawang untuk menyediakan bubur itu.

Seorang lagi rakan mereka, Ava Perko, 16, turut mengakui teruja apabila memperolehi kemahiran baharu memasak bubur kanji Kedah.

"Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang mempelajari cara menyediakan salah satu makanan tradisi masyarakat tempatan itu," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, kenduri itu diadakan dengan kerjasama Muzium Negeri Kedah, Syarikat Adabi Consumer Industries, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Kelab-Kelab Malaysia (MAYC) Negeri Kedah dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA).

Menurutnya, proses penyediaan dan memasak 50 kilogram (kg) kanji Kedah yang turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar Amerika dan Itali itu bermula seawal jam 8.30 pagi sebelum edaran 1,750 bubur dilakukan bermula jam 4.45 petang.

Beliau memberitahu, bubur kanji Kedah memiliki sejarah tersendiri yang perlu diperkenal dan dipromosikan lagi kepada orang ramai khususnya anak-anak muda sekarang.

Katanya, masyarakat Kedah telah lama mengusahakan sawah padi terutamanya setelah mula dibina sungai-sungai korok yang panjang sejak zaman pemerintahan Sultan Athaillah Muhammad Syah (1423-1473) untuk membolehkan masyarakat membuka sawah padi yang luas.

"Sejak itu, Kedah telah mula menghasilkan banyak beras sehingga negeri ini boleh digelar sebagai ‘Negeri Jelapang Padi’. Dengan itu masyarakat Kedah telah lama memiliki pelbagai resipi berasaskan beras tempatan, antaranya resipi bubur kanji, atau disebut juga kanji sahaja,"katanya.

Menurut Dr Ibrahim, bubur kanji yang lazimnya menjadi juadah berbuka puasa kerana rasanya boleh diterima semua golongan disediakan dengan pelbagai bahan rempah terpilih.

Beliau berkata, masakan bubur kanji Kedah dikatakan sama dengan juadah disebut ‘bubur lambuk’ oleh masyarakat Selatan Semenanjung namun ia sebenarnya berbeza sedikit dari sudut agihan rempah-ratus sekali gus menghasilkan sedikit kelainan pada rasanya.

"Yang pasti, bubur kanji merupakan lambang perpaduan masyarakat kampung dan boleh menjadi juadah pelbagai golongan kerana rasanya universal," katanya. - Sinar Harian