KUALA LUMPUR: Usaha mencapai imuniti kelompok untuk lebih 500,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dicapai dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, proses vaksinasi itu mampu dipercepat dengan kaedah pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat yang menyaksikan projek perintisnya di Kem Perdana Sungai Besi.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kaedah pandu lalu itu mampu melakukan pemberian vaksin sehingga 1,500 dos sehari, meliputi anggota tentera, ahli keluarga mereka, serta orang awam yang bekerja sebagai staf Kementerian Pertahanan.

“Kita dapati PPV jenis pandu lalu sangat mudah dan cepat. Daripada mula sewaktu pendaftaran sehingga selesai suntikan vaksin ini selama 15 minit sahaja. Mereka perlu lalui tempat pendaftaran kemudian terus ke tempat vaksin. Dan selepas itu mereka akan keluar dan berada di tempat menunggu selama lima belas minit.

“Sistem ini saya kira sangat  baik. Dan tidak perlu kos besar. Kalau tempat (PPV) biasa jmereka kena mencari tempat letak kereta, kalau kereta jauh, nak jalan kaki dan sebagainya. Kalau PPV besar, beribu orang satu hari, barisan mungkin jadi sangat panjang,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata kepada sidang media selepas selesai meninjau hari kedua pelaksanaan PPV Pandu Lalu di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Turut menyertai program tinjauan itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihak kementerian telah memohon dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pharmaniaga Bhd, serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 bagi mendapatkan vaksin Sinovac secara terus kepada warga ATM.

Jika permohonan itu berjaya ditambah pula dengan jaminan vaksin Pfizer sedia ada dan akan datang, beliau bekata sasaran untuk mencapai proses vaksinasi sehingga 200,000 warga ATM sebulan boleh tercapai.