JOHOR BAHRU: Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya.

Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, setiap daripada rakyat Malaysia bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai.

“Saya berharap agar semua pihak dapat menghayati prinsip faham, hormat dan terima dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia.

“Sesungguhnya, setiap apa yang kita laksanakan pada hari ini adalah suatu pelaburan yang sangat besar bagi generasi mendatang. Usaha ini memperlihatkan semua masyarakat termasuk pemimpin perlu senada menanam pohon-pohon perpaduan.

“Sehubungan dengan itu, Kementerian Perpaduan Negara sentiasa komited dalam mengukuhkan semangat perpaduan, kenegaraan, kebersamaan, muhibbah dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang etnik, agama dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 peringkat kebangsaan di sini, pada Sabtu.

Jelasnya lagi, tahun ini, fokus utama kementerian adalah untuk menggerakkan inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

Untuk rekod, sehingga kini, terdapat lebih 300 Rukun Tetangga (RT) melaksanakan aktiviti ekonomi yang merangkumi projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan, minuman, kesihatan, kraftangan, perkhidmatan katering, dan Community Based Tourism (CBT).

Justeru, beliau menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan peruntukan khas melalui Dana Komuniti Madani bagi tujuan pemerkasaan dan projek ekonomi Rukun Tetangga.

Selain itu, kementerian akan memperluaskan perkhidmatan mediasi melalui penubuhan Pusat Mediasi Komuniti di negeri Perlis, Melaka & Putrajaya.

Jelasnya, kementerian akan mengkaji untuk mewujudkan satu badan akreditasi Mediator Komuniti untuk meningkatkan tahap profesionalisme.