KUALA LUMPUR: Kemasukan semula tokoh-tokoh berprofil tinggi seperti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke dalam UMNO dilihat membawa pelbagai dimensi politik, termasuk risiko dan peluang.
Penganalisis politik dan Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berpandangan, kepulangan kedua-dua tokoh itu tanpa syarat ke ekosistem UMNO memberikan implikasi yang kompleks, bukan sahaja terhadap kestabilan dalaman parti, tetapi juga persepsi pengundi Melayu.
Advertisement
Jelas beliau, satu daripada perspektif positif adalah ia boleh membantu mengekalkan sokongan akar umbi UMNO dan menarik semula pengundi atas pagar, terutamanya di kawasan bandar.
"Paling penting adalah bagaimana ini barang kali boleh membantu imbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, terutamanya apabila kita bercakap tentang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kalau kita boleh spesifikan kepada dua tokoh ini, kedua-dua mereka mempunyai modal politik dan ada kesan yang besar jika mereka dibawa masuk semula ke dalam UMNO," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.
Mujibu menambah kepulangan Khairy yang semakin popular selepas berada di luar UMNO memberikan imej reformis dan teknokratik, dengan pendekatan komunikasi media sosial yang berkesan.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO membawa pengalaman pentadbiran senior dan pengaruh dinasti politik yang menjadi aset penting dalam konteks UMNO sebagai parti tradisional dan elit.
"Dalam konteks Johor dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang, peranan Hishammuddin amat kritikal. Kedua-dua tokoh ini berpotensi membantu UMNO mengekalkan kubu kuat mereka di kawasan Melayu serta memperkukuh sokongan menjelang PRU ke-16," kata Mujibu lagi.
Beliau menegaskan Khairy dan Hishammuddin berpotensi untuk menarik kembali dan mengekalkan sokongan asas sedia ada serta membesarkan pola sokongan parti menjelang pilihan raya.
Semalam, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dan Hishammuddin dilapor secara rasmi menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beberapa surat permohonan untuk kembali bersama memperkukuhkan Rumah Bangsa diterima daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah digantung atau dipecat.