KUCHING: Cuaca terik di bandar raya ini tidak menghalang orang ramai menggayakan busana tradisional pelbagai kaum di Malaysia yang berwarna-warni, seterusnya 'menghidupkan' suasana Jambatan Darul Hana dan sekitar Tebingan Kuching sempena sambutan Minggu Perpaduan Negara 2023.

Seramai 2,471 peserta daripada berbagai-bagai kaum dan agama mendaftarkan diri seawal 6.30 pagi hingga 3 petang hari ini untuk melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori 'Pemakaian Baju Etnik Teramai Dalam Satu Acara'.

Ibarat dari Perlis hingga ke Sabah, penggayaan pelbagai busana etnik dari seluruh negara membanjiri Tebingan Kuching seperti pakaian orang Melanau, Kedayan, Iban, Lun Bawang, Orang Asli Mah Meri, Kadazan, Murut, Cina dan Punjabi.

Kementerian Perpaduan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kategori berkenaan menerima penyertaan daripada murid prasekolah, pelajar sekolah, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi, komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan orang awam.

Menurut kenyataan itu, sijil pengiktirafan MBOR turut diberikan bagi kategori 'Penyertaan Kumpulan Etnik Terbanyak dalam Pameran Kebudayaan' dengan penyertaan 17 kumpulan etnik sempena sambutan Minggu Perpaduan.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menerima sijil pengiktirafan MBOR bagi kedua-dua kategori daripada Penganalisis Penyelidikan MBOR Siti Nurhanim Mohd Noh dan Eksekutif Akaun MBOR Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi malam ini.

"Penciptaan MBOR bagi kedua-dua kategori ini bukan hanya sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan malah program ini jelas membuktikan keakraban, keharmonian dan jalinan perpaduan yang sangat utuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Inilah yang dinamakan erti perpaduan dalam kepelbagaian," menurut kenyataan itu.

Minggu Perpaduan 2023 turut diadakan di 15 lokasi seluruh negara antaranya Bertam Square di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar (Sabah), Dataran Tasik Kluang (Johor) dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan (Pahang).

Bertemakan "Perpaduan Dalam Kepelbagaian", objektif utama penganjuran Minggu Perpaduan adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat serta budaya dalam masyarakat Malaysia.

-- BERNAMA