PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman meluahkan kesyukuran selepas 20 bulan berulang ke mahkamah, akhirnya keputusan memihak kepadanya.

Penyanyi berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengakui tidak menyangka dengan keputusan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini. 

"Tak expect,sebenarnya 50-50 tapi ada yang mengikuti perbicaraan, nampaklah berat kepada kemenangan.

"Tetapi (saya) sentiasa bersedia untuk keputusan yang ke kiri atau ke kanan.

"Setelah 20 bulan saya turun naik court, alhamdulillah hari ini berakhir dengan baik dan saya tidak akan datang ke sini lagi," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu turut memohon maaf atas kelakuannya yang disebabkan penyakit bipolar.

"Saya minta maaf atas sakit bipolar, bukan kali ini saja (tetapi) sebelum-sebelum ini juga. Saya memohon maaf sekiranya terkasar bahasa, sekiranya ada marah-marah, maki hamun dan sebagainya tak kiralah anda ahli keluarga saya, kawan-kawan terdekat saya, teman-teman sejati saya dan orang-orang yang pernah menyayangi saya... terima kasih dan saya minta maaf," tambahnya.

Dalam perbicaraan sebelum ini, seorang pakar perunding psikitari yang juga satu-satunya saksi pembelaan ketika memberi keterangan mencadangkan Muhammad Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.