GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Timbalan Pengarah Laut dan Pegawai Unit Operasi di Jabatan Laut Wilayah Utara serta dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima suapan berbentuk tajaan percutian ke Pulau Langkawi, Kedah pada Julai tahun lalu.

Perintah reman selama enam hari bermula 18 hingga 23 Januari ini dikeluarkan Majistret, Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Jenayah 1, di sini,  hari ini.

Menurut sumber SPRM, suspek pertama adalah seorang lelaki berpangkat Timbalan Pengarah Laut gred AL52, manakala, individu kedua seorang wanita adalah Pegawai Unit Operasi gred AL41 dan dua lagi lelaki masing-masing bekerja sebagai pengarah syarikat dan kontraktor.

"Siasatan kita mendapati suspek pertama dan kedua dikatakan telah meminta dan menerima rasuah tajaan percutian ke Langkawi, Kedah berupa tiket kapal terbang dan penginapan bernilai RM2,808.12 daripada suspek ketiga dan keempat.

"Tindakan itu dikatakan dilakukan sebagai balasan memilih dan memberikan kerja-kerja sebut harga di Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara," katanya hari ini.

Permohonan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Binti Zulkiflee dan kesemua suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangaan (YBGK).

Kesemua individu itu yang berusia 30 hingga 52 tahun disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Difahamkan kesemua mereka ditahan antara jam 4.30 petang hingga 10 malam pada Selasa selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.