KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam merangka satu pelan untuk menurunkan kadar kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya (MIROS) Azhar Hamzah berkata secara purata 20 peratus daripada 500,000 kemalangan yang dilaporkan setiap tahun membabitkan kemalangan motosikal.

"Sejak 20 tahun lepas, lebih 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya terdiri daripada penunggang motosikal dengan 45 peratus mangsa dalam lingkungan umur 16 hingga 30 tahun.

"Dalam kemalangan motosikal, penunggang memainkan peranan yang paling penting, tidak kira dalam apa jua persekitaran dan kenderaan yang mereka naiki," katanya semasa sesi meja bulat bertajuk 'Crash, Boom, Bang #RogerAllianz' anjuran Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd (Allianz General).

Azhar berkata kemalangan motosikal biasanya berlaku di jalan-jalan utama dengan 66 peratus di bahagian jalan yang lurus, 27.5 peratus perlanggaran di sudut atau tepi jalan, 28 peratus melibatkan kereta dan 25 peratus melibatkan satu kenderaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Sean Wang berkata syarikat itu sedang menambah baik perkhidmatan dengan menawarkan bantuan di tepi jalan untuk pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus (komprehensif) atau Allianz Motorcycle (komprehensif) (bawah 250cc).

"Penunggang motosikal dikategorikan sebagai 'segmen tidak dilayan' dalam pasaran insurans di Malaysia. Penunggang motosikal sudah lama menunggu untuk perkhidmatan di atas jalan raya yang lebih baik, iaitu sesuatu yang syarikat insurans ini berhasrat untuk dilaksanakan.

"Segmen perniagaan ini tidaklah besar jika dibandingkan dengan keseluruhan insurans kenderaan dalam industri dan kami mahu menambah baik dengan menawarkan perkhidmatan komprehensif kepada penunggang motosikal," katanya,

Wang berkata perkhidmatan tersebut adalah percuma kepada semua pemegang polisi syarikat itu dan akan dibantu oleh perkhidmatan Allianz Road Rangers.

-- BERNAMA