MALAYSIA
Misi '1000 Flotilla': Gelombang rakyat dunia sasar pecah kepungan di Gaza

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid bercakap pada sidang media, di Parlimen, di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Seribu kapal flotila ke Gaza yang dijadual berlayar awal September ini dijangka memberi tekanan besar kepada rejim Israel dan berpotensi memecahkan kepungan yang berlarutan lebih 18 tahun.
Ringkasan AI
- Seribu kapal flotila dijadual berlayar ke Gaza awal September, digerakkan oleh MAPIM bersama rangkaian antarabangsa Sumud International, bertujuan memecahkan kepungan Israel yang berlarutan lebih 18 tahun.
- Misi ini bersifat kemanusiaan dan politik, dengan bantuan bernilai AS$10-20 juta serta mesej tegas menentang sekatan Israel terhadap lebih dua juta penduduk Gaza.
- Ahli Parlimen Malaysia merentasi parti menyatakan sokongan penuh, termasuk komitmen diplomatik dan undang-undang untuk menjamin keselamatan peserta flotila dan mempertanggungjawabkan Israel jika berlaku tindakan agresif.
“Kalau sampai seribu kapal itu bermakna mereka (Israel) akan berfikir banyak kali jika melakukan tindakan seperti sebelumnya iaitu mereka serang dan rampas kapal, penjarakan serta menghantar pulang delegasi (sukarelawan),” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Parlimen, di sini pada Khamis.
Mohd Azmi turut menegaskan, potensi misi tersebut jauh lebih besar berbanding sekadar penghantaran bantuan kemanusiaan.
MAPIM katanya menyasarkan bantuan bernilai antara AS$10 juta hingga AS$20 juta meliputi makanan, pakaian dan perubatan untuk disalurkan ke Gaza.
Namun jelasnya lagi, mesej utama flotila kali ini adalah bersifat politik, iaitu memecahkan kepungan Israel yang telah menjerut lebih dua juta penduduk Gaza sejak hampir dua dekad lalu.
Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Malaysia merentasi parti politik hari ini turut menyatakan sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan tersebut.
Pengerusi Kelab Backbenchers (BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah menegaskan, komitmen itu bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga melalui usaha diplomatik dan undang-undang bagi menjamin keselamatan peserta flotila.
“Kami juga berikrar untuk melaksanakan segala usaha diplomatik dan undang-undang yang mungkin bagi mempertahankan keselamatan para peserta flotila.
“Sekiranya Israel bertindak agresif terhadap misi ini, Malaysia akan menyokong tindakan undang-undang dan diplomatik antarabangsa yang diperlukan untuk memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami