IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan program MBI Prihatin walaupun selepas pandemik COVID-19 berakhir, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurutnya, program yang dilancarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu itu, adalah bagi membantu meringankan beban warga kota Ipoh dalam mengharungi kehidupan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, program itu perlu diteruskan bagi membantu menangani masalah miskin bandar.

“Kemiskinan bandar ini melampaui tempoh. Kita yakin, lepas COVID pun akan ada isu kemiskinan bandar, cuma ketika COVID ini memang ramai tetapi ia akan berlaku dan kita akan teruskan juga.

“Mungkin bentuk (bantuan) lain, ketika ini kita banyak beri bantuan makanan, mungkin selepas ini mungkin bantuan rumah, bantuan pendidikan dan macam-macam lagi, ikut keadaan semasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) rakan strategi MBI Prihatin dengan Econsave di sini, pada Jumaat.

Rumaizi berkata, selain daripada bantuan makanan kepada golongan yang terkesan dengan COVID-19, pihaknya berusaha membuka dan mencari peluang pekerjaan kepada mereka.

Menurutnya, MBI sendiri telah mengambil lebih 200 orang pekerja di samping rakan-rakan strategik mereka, termasuk kontraktor dan kilang-kilang di sekitar Ipoh.

“Secara keseluruhannya sekitar 1,000 orang telah kita ambil bekerja dalam tempoh pandemik dan apa yang penting saya beritahu pengusaha, jika mahukan pekerja, ambillah pekerja tempatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai program MBI Prihatin, beliau memberitahu, setakat ini, hampir RM1 juta bantuan makanan diedarkan kepada kira-kira 10,000 warga bandar raya Ipoh.