MALAYSIA
MITI tidak terlibat urusan projek cip AI sektor swasta

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini memaklumkan ia tidak terlibat dalam urusan berkaitan projek kecerdasan buatan (AI) menggunakan cip Huawei. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini memaklumkan ia tidak terlibat dalam urusan berkaitan projek kecerdasan buatan (AI) menggunakan cip Huawei.
Kementerian itu berkata projek tersebut adalah inisiatif sektor swasta dan bukan projek kerajaan, bagi mengelakkan sentimen yang tidak tepat serta sensitiviti yang berbangkit berkaitan isu geopolitik semasa.
"Pemilihan dan penggunaan teknologi AI oleh sektor swasta di Malaysia adalah bergantung kepada keputusan strategik syarikat dan tidak tertakluk kepada kawalan kerajaan," kata MITI menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat, hari ini.
MITI menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung proses semakan dalaman dan tata kelakuan yang dijalankan mengenai projek AI menggunakan cip Huawei serta dasar semasa Malaysia dalam memilih teknologi AI.Mengulas lanjut, kementerian itu berkata ia telah menguatkuasakan satu arahan iaitu Directive of the Strategic Trade Controller No.1/2025 Declaration of Unlisted Items Under Section 12 of the Strategic Trade Act (STA) 2010 setelah menilai landskap perdagangan semasa melalui pendekatan berasaskan risiko pada 14 Julai lepas.
Melalui arahan ini, katanya, mana-mana syarikat atau pihak yang ingin menjalankan aktiviti eksport, transit atau pemindahan cip AI termaju yang memenuhi parameter teknikal seperti dinyatakan di dalam Annex I Arahan tersebut, dikehendaki memaklumkan kepada MITI butiran transaksi berkaitan bagi pertimbangan kelulusan permit pengeksportan oleh MITI sewajarnya.
"Arahan ini dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko nasional dan selaras dengan kerangka perundangan Malaysia, dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi memastikan kawalan eksport yang berkesan dan berwibawa.
"Ia juga merupakan tindakan segera untuk menangani kebimbangan antarabangsa berkaitan risiko Malaysia dijadikan laluan atau pusat pemindahan semula cip AI termaju secara tidak sah," kata kementerian itu.
Dalam jangka masa panjang, MITI berkata Malaysia akan terus menilai dan menyemak senarai barangan strategik berdasarkan keupayaan cip AI termaju dan risikonya terhadap keselamatan serantau dan global.
"Malaysia akan terus menarik pelaburan dalam industri pusat data dan infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi untuk menyokong pembangunan AI dengan tumpuan kepada pembinaan keupayaantempatan dan memastikan keselamatan data," kata MITI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami