Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyalurkan segera bantuan kewangan kepada kesemua mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Pengerusi MKN Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bayaran itu bergantung kepada kepantasan jawatankuasa MKN peringkat daerah menyerahkan senarai nama mangsa yang telah disahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai daerah.

"Dalam kejadian di Cameron Highlands ini, kita akan bayar seberapa cepat memandangkan tidak ramai yang terlibat tetapi kita minta jawatankuasa MKN peringkat daerah serahkan nama mangsa secepat mungkin kepada MKN.

"Mereka yang layak ini akan menerima bantuan dalam masa terdekat sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bajet 2015 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Shahidan, MKN negeri akan memberi bantuan secara terus kepada mangsa kira-kira RM500 dalam masa 24 jam atau selewat-lewatnya dua hari.

Kejadian itu telah mengakibatkan lebih 90 mangsa dengan lima kematian manakala lima lagi cedera.

Mengenai pencerobohan hutan secara haram di Cameron Highlands, Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata peneroka tidak bertanggungjawab itu bukan hanya meneroka untuk diri sendiri malah turut menyewa kepada pendatang asing terutama Bangladesh untuk mengusahakan tanah tersebut.

"Pada masa ini, saya sedang menyemak maklumat daripada orang ramai dan akan mengambil tindakan. Bila berlaku bencana seumpama ini, kita boleh lihat banyak perkara yang akan diberikan perhatian," katanya.

Sementara itu, Shahidan menjelaskan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus berada di persada keselamatan dan keamanan negara walaupun mempunyai aset yang telah 'lama'.

"Kita yakin dan percaya, dengan aset sedia ada, APMM masih lagi mampu laksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi seperti penguatkuasaan dan penyeludupan," katanya.

Beliau berkata aset sedia ada diyakini mampu melicinkan penguatkuasaan dan boleh diperbaiki serta ditambahbaik dalam mengawal keselamatan di mana-mana perairan negara yang telah ditugaskan.