KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membentangkan kertas cadangan mengenai satu prosedur operasi standard (SOP) am dan sembilan garis panduan berkaitan COVID-19 kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perincian SOP dan garis panduan yang telah dirangka itu akan diumumkan kelak sebaik selesai dibawa untuk perbincangan dan dipersetujui jawatankuasa terbabit.

"Dalam peralihan dari fasa pendemik ke fasa endemik, kerajaan fokus kepada satu SOP am yang boleh berkuat kuasa menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berkaitan langkah-langkah tetap untuk mengawal penularan seperti pemakaian pelitup muka, panduan pengudaraan, daftar MySejahtera, syarat lengkap vaksin dan lain-lain.

"Sementara sembilan garis panduan tersebut pula merangkumi aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor. Garis panduan ini tidak boleh dikuatkuasakan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sidang video bersama Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N. Lorenzana di Kementerian Pertahanan di sini, pada Isnin.

Pun begitu beliau tidak memperincikan SOP am berkenaan kerana perlu mendapat persetujuan jawatankuasa khas tersebut.

Pada awal Pelan Pemulihan Negara (PPN),  kerajaan menetapkan 181 SOP.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kelonggaran yang bakal diumumkan itu tidak seharusnya menjejaskan perancangan utama negara dalam peralihan ke fasa endemik.

"Saya harap dalam melihat ke hadapan, semua faham kelonggaran ini bersyarat dengan orang ramai mengamalkan TRIIS iaitu test, report, isolate, inform dan seek," ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai cadangan kesiapsiagaan operasi risikan di Malaysia untuk dipertingkatkan bagi mengadaptasi senario yang berlaku ketika ini, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa giat mempertingkatkan aset-aset dalam konteks siber sekuriti. 

Malah katanya, kemampuan Malaysia juga tidak jauh berbeza berbanding negera-negara seratau yang lain.