BUTTERWORTH: Mahkamah Tinggi Butterworth mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM18,000 terhadap model sambilan wanita yang memandu secara lawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang empat tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Ahmad Amirudin Abd Rahman selepas menolak rayuan Ng Pei Ven, 23, berhubung hukuman dihadapinya hari ini.

Ahmad Amirudin menolak rayuan dikemukakan wanita terbabit berikutan pihak pendakwaan dapat membuktikan setiap intipati pertuduhan ke atas tertuduh.

Tertuduh yang ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Gen2 didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian juruteknik Mohamad Fandi Rosli.

Ahmad Amirudin turut memaklumkan bahawa rayuan perayu juga ditolak selepas pihak pendakwaan mengesahkan keputusan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam terhadap perayu sebelum ini adalah mengikut undang-undang dan tidak melampau.

Katanya, kesalahan yang dilakukan perayu sangat serius kerana memandu secara melawan arus yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

Selain hukuman penjara dan denda dikekalkan, Ahmad Amirudin turut mengekalkan keputusan membatalkan lesen memandu percubaan perayu.

Pei Ven kemudiannya dihantar ke Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal bagi menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas bapanya selesai membuat bayaran denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainy Suhailah Yunus manakala tertuduh diwakili peguam, Cheah Eng Soon.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda sebanyak RM18,000 selepas tertuduh didapati bersalah memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan  pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menaikkan jaminan daripada RM7,000 menjadi RM12,000.

Dalam kejadian pada 14 Mac 2017, mangsa maut selepas kereta Perodua Kelisa dipandunya bertembung dengan kenderaan Pei Ven yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 134, dekat Permatang Pauh.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.