JEDDAH: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Palestin dan Algeria di luar Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-23, di sini.
Dalam pertemuan dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Palestin Dr Varsen Aghabekian Shaheen, Malaysia menegaskan semula sokongan yang berterusan dan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin pada pelbagai platform antarabangsa.
Beliau berkata perjuangan Palestin sentiasa dekat pada hati rakyat Malaysia dan senantiasa teguh bersolidariti serta menyokong warga Palestin.
Mohamad turut menyatakan komitmen Malaysia terhadap hubungan yang telah sekian lama terjalin dengan Palestin, termasuk terus menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin.
Sementara itu, Aghabekian Shaheen turut menyentuh mengenai kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk genosid, pembunuhan dan kebuluran yang berterusan di Semenanjung Gaza.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan bantuan kemanusiaan serta kegagalan untuk terus membuka pintu masuk bagi memastikan bekalan keperluan asas dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata peningkatan serangan pengganas oleh pendatang di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis, terus mengancam nyawa rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.
Sementara itu, dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan Luar Negara, Ahmed Attaf, perbincangan tertumpu kepada hubungan dua hala serta langkah untuk terus memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Algeria.
Kedua-dua menteri membincangkan mengenai pelaburan Malaysia di Algeria serta usaha mewujudkan penerbangan terus antara Algiers dan Kuala Lumpur susulan penerbangan pertama Air Algerie pada 29 Mac lepas.
Malaysia dan Algeria turut sepakat mengadakan rundingan peringkat pegawai pada tahun hadapan bagi membincangkan langkah-langkah konkrit seterusnya untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
Kedua-dua pihak turut sependapat bahawa hubungan antara rakyat semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disokong oleh peningkatan pelaburan Malaysia di Algeria serta penerbangan terus antara kedua-dua negara.
– BERNAMA