MALAYSIA
Mohamad Hasan hadir Mesyuarat Tergempar Menteri Luar OIC di Jeddah bincang isu Palestin

Semasa mesyuarat itu, Mohamad juga akan bertemu dengan rakan sejawatnya untuk membincangkan usaha bersama bagi menamatkan kesengsaraan penduduk Palestin di Gaza. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 25 Ogos ini di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan rancangan Israel untuk mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa dan visi peluasan wilayah "Greater Israel" yang melanggar perundangan antarabangsa.
Menurut Kementerian Luar, agenda mesyuarat itu juga akan menyentuh rancangan Israel untuk membina ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmuqaddis dan Ma'ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki.
"Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat tergempar ini menunjukkan komitmen berterusan negara dalam memperjuangkan hak-hak Palestin untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut Wisma Putra.Semasa mesyuarat itu, Mohamad juga akan bertemu dengan rakan sejawatnya untuk membincangkan usaha bersama bagi menamatkan kesengsaraan penduduk Palestin di Gaza yang diakibatkan oleh sekatan bantuan kemanusiaan berterusan oleh rejim Zionis Israel.
Menurut laporan media antarabangsa, United Kingdom (UK), Australia dan Jepun adalah antara 21 negara yang mengutuk rancangan Israel untuk membina penempatan haram kontroversi di Tebing Barat yang diduduki, yang menurut mereka akan menyebabkan penyelesaian dua negara untuk Palestin mustahil dicapai.
OIC mengecam sekeras-kerasnya rancangan Israel itu, menyifatkannya sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan memberi amaran bahawa ia mengancam penyelesaian dua negara serta membawa kepada pengilhakan secara de facto.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami