MALAYSIA
Mohamed Khaled adakan mesyuarat trilateral, persediaan GBC Kemboja-Thailand

Mohamed Khaled pada Sabtu mengadakan mesyuarat trilateral bersama rakan sejawat dari Kemboja dan Thailand sebagai persiapan mesyuarat GBC antara kedua-dua negara itu pada 7 Ogos ini. - Facebook Khaled Nordin
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Sabtu mengadakan mesyuarat trilateral bersama rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand sebagai persiapan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara kedua-dua negara itu pada 7 Ogos ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Mohamed Khaled berkata mesyuarat melalui persidangan video itu disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit.
"Mesyuarat itu langkah penting dalam persiapan menghadapi mesyuarat General Border Committee (GBC) Kemboja-Thailand yang dijadualkan pada 7 Ogos ini di Kuala Lumpur.
"Dengan semangat ASEAN, Malaysia komited sepenuhnya untuk menyokong proses penyelesaian yang dipimpin oleh ASEAN secara aman selaras dengan nilai-nilai serantau yang kita kongsi bersama," katanya.
Mesyuarat trilateral terbabit turut disertai Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud.
Mohamed Khaled berkata mesyuarat GBC itu akan turut disertai pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat dan China.
Sebelum mesyuarat GBC berkenaan, wakil kedua-dua negara, iaitu Kemboja dan Thailand akan mengadakan mesyuarat awal yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos ini.
"Perbincangan itu menggambarkan komitmen pihak-pihak untuk berunding secara aman dan dialog yang konstruktif.
"Semoga ia menyumbang ke arah tanggungjawab bersama kita untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN serta Malaysia bersedia untuk memastikan kelancaran dan menyokong setiap langkah proses aman ini secara neutral," katanya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara Mesyuarat GBC antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, mesyuarat GBC itu bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lepas.
Mesyuarat itu pada asalnya dijadual berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos, bagaimanapun pada 31 Julai lepas, Thailand mengemukakan cadangan supaya mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali dan tempoh perbincangan dipanjangkan berbanding hanya sehari sebelum ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami