ALOR SETAR: Superintendan Mohd Mahiri Hussain dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kedah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Unit 5, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Ipoh.

Mohd Mahiri menggantikan Deputi Superintendan Osman Ismail yang memangku jawatan berkenaan selepas Superintendan Chuah Seong Lim meninggal dunia awal bulan lalu.

Majlis berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze  Shaari.