Skip to main content

Malaysia

Mohd Marzuki dilantik Ketua Pegawai Eksekutif SKM

[TB]_SKM Mohd Marzuki_SKM
Mohd Marzuki akan menerajui pengurusan dan operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan dengan berkesan, berintegriti dan berimpak. - Gambar SKM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan pelantikan Mohd Marzuki Yasoa' sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM yang baharu berkuat kuasa pada Isnin.  

SKM memaklumkan pelantikan itu langkah penting bagi memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran, sejajar dengan hasrat untuk terus memperkasa gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.  

"Mohd Marzuki akan menerajui pengurusan dan operasi harian SKM, termasuk memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan dengan berkesan, berintegriti dan berimpak.  

"Membawa bersama lebih 26 tahun pengalaman di dalam gerakan koperasi, melalui kepimpinan beliau diharapkan dapat terus memperkukuh keupayaan SKM dalam menghadapi landskap gerakan koperasi yang kian dinamik, sekali gus meningkatkan daya saing, profesionalisme dan tadbir urus sektor koperasi," jelas SKM dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas kenyataan itu lagi, pelantikan Mohd Marzuki datang pada waktu yang penting bagi gerakan koperasi negara, yang kini memerlukan pendekatan yang lebih strategik, inovatif dan peka terhadap perubahan ekonomi serta keperluan anggota koperasi. 

"Di bawah kepimpinan baharu ini, SKM akan terus fokus memperkukuh ekosistem koperasi melalui pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keupayaan koperasi, mengembangkan aktiviti perniagaan serta menggalakkan inovasi dan mempercepatkan transformasi pendigitalan.  

"Sebagai badan kawal selia tunggal bagi gerakan koperasi negara, SKM akan terus bekerjasama rapat dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), sebagai peneraju latihan dan pembangunan modal insan koperasi, serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sebagai badan payung yang mewakili suara dan kepentingan gerakan koperasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan hala tuju pembangunan koperasi negara kekal berfokus, tersusun dan saling  melengkapi.  

SKM turut memaklumkan akan terus memperhebatkan kerjasama strategik bersama  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian dan agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pemegang taruh gerakan koperasi, bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai salah satu pemacu penting ekonomi negara.
 

Must Watch Video

Advertisement