Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) akan menubuhkan pejabat pendaftaran bagi semua pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) di negara ini.

MOHE dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pejabat pendaftaran itu di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi akan secara automatik mendaftar semua lulusan PhD dalam negeri.

Bagi lulusan PhD seberang laut, pengesahan akan didapatkan daripada universiti-universiti berkenaan.

"Penubuhan pejabat pendaftaran ini bertujuan memudah dan membantu undang-undang sedia ada, selain perlindungan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, yang membolehkan tindakan jenayah diambil terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu," kata kenyataan itu.

Menurut MOHE, pejabat pendaftaran itu tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), Akta Institusi Pendidikan Swasta (Akta 555) dan garis panduan sedia wujud mengenai penggunaan gelaran akademik.

"Kementerian percaya langkah ini akan dapat menjamin penggunaan gelaran akademik yang boleh diyakini; membolehkan orang awam mendapatkan kesahihan maklumat; dan menyekat pengeluaran sijil akademik palsu," kata kenyataan itu.

MOHE berkata, ia serius dalam mengambil tindakan terhadap perbuatan mengeluar dan mengguna gelaran akademik palsu oleh individu dan organisasi.

Ia menambah gelaran akademik palsu yang paling kerap diguna dan dikeluarkan di Malaysia ialah "Dr.", sepertimana pada seseorang lulusan PhD. - Bernama