KUALA LUMPUR: Seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi Kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini hingga Mac 2024.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) memastikan semua cabang agensi merangka persiapan untuk memastikan kesiapsiagaan di semua peringkat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA telah mula beroperasi 24 jam setiap hari.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar.

"JPBP telah mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, NDCC akan menyediakan notis serta-merta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi bagi tujuan sebaran SMS dan Flash Broadcast secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"JPS telah mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 buah daerah di seluruh negara.

"Pada masa yang sama, NDCC akan sentiasa berkongsi info terkini dan amaran bencana kepada pelbagai pihak termasuk Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana," ujarnya.

Justeru, Armizan menasihati semua pihak agar sentiasa peka dengan situasi semasa dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib.

Tegas beliau, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang awam turut diminta untuk mematuhi sebarang arahan untuk berpindah dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 3,116 mangsa daripada 962 keluarga akibat banjir di Kedah, Pahang, Perak dan Selangor sepanjang 23 Okt hingga 8 Nov.

Setakat jam 6 pagi ini, 15 PPS sedang beroperasi menempatkan 341 keluarga daripada 1,249 mangsa di Perak dan Selangor.

"Kawasan dan mangsa yang terkesan dijangka terus meningkat dalam tempoh MTL," ujarnya.