Monyet gunung agresif, berbahaya kepada pengunjung di Taman Rekreasi Gunung Lang

Tinjauan baru-baru ini mendapati ramai pengunjung trauma dan ketakutan apabila dikejar dan diganggu oleh monyet gunung itu. - Astro AWANI
IPOH: Keterujaan serta keseronokan untuk meneroka Taman Rekreasi Gunung Lang di sini terbantut apabila kehadiran banyak monyet gunung yang agresif serta berbahaya untuk pengunjung.
Jika anda menyeberangi Tasik Gunung Lang di sini dengan harga RM3 bagi dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak serta warga emas, pasti anda menjangkakan pengalaman berharga untuk 'healing' dan lari daripada kesibukan bandar.
Namun, tinjauan baru-baru ini di sini mendapati ramai pengunjung trauma dan ketakutan apabila dikejar dan diganggu oleh monyet gunung itu, meskipun tidak membawa sebarang minuman atau makanan ketika berjalan.
Tidak menyalahkan kehadiran haiwan tersebut kerana ia sememangnya habitatnya, namun ramai yang mempersoalkan isu keselamatan atau kawalan pihak berwajib bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Malah, sepanjang tinjauan di sini, terdapat beberapa orang yang menjerit serta lari ketakutan disebabkan ancaman monyet gunung ini.
Didapati beberapa ekor monyet itu mengejar ibu dan anak yang masih kecil ketika mereka beriadah di taman permainan yang disediakan, si ibu terpaksa meminta pertolongan daripada orang berdekatan bagi menghalau haiwan tersebut.
Tiga pengunjung, masing-masing dari Selangor dan Ipoh turut trauma apabila dikejar secara agresif dan turut meminta pertolongan orang sekeliling.

Nor Sulaiman, 58, Siti Abdul Hamid, 58, dan Leha Abd Rahman, 58, merupakan antara individu yang berdepan detik cemas itu.
Dua daripadanya baru pertama kali ke sini dan bagi Leha, ini kali kedua dia datang ke sini dan tidak menyangka monyet gunung itu semakin agresif.
"Memang banyak monyet gunung di sini, bahaya juga untuk kanak-kanak sebab kita tidak sangka ia agresif. Kami terpaksa minta bantuan orang ramai kerana ia mengejar walaupun kami tiada pegang sebarang makanan atau minuman," katanya.
Seorang lagi pengunjung berkata, dia nampak ada pasangan yang diganggu monyet gunung itu ketika berjalan di situ, lantas dia menasihati pasangan itu untuk lebih berhati-hati.
"Mulanya saya nampak si ibu dengan anak diganggu dan nampak macam monyet itu hendak terkam, mujur ada beberapa orang lelaki bantu halau.
"Selepas itu, muncul pula pasangan yang dikejar dan saya nasihatkan mereka untuk berhati-hati sebab sudah nampak ia memang agresif, jadi mereka ambil ranting di situ sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dari Ipoh yang juga pertama kali datang ke situ.
Meskipun pengunjung sudah terlebih dahulu diberikan amaran oleh petugas berhubung kehadiran monyet gunung itu yang mungkin akan menganggu jika membawa makanan atau minuman, namun tidak diperincikan bahawa ia akan tetap mengejar tanpa alasan.
Sewajarnya pihak berwajib menyediakan langkah keselamatan yang lebih ketat untuk orang ramai yang hadir ke situ, lebih-lebih lagi apabila lokasi itu sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
Untuk cadangan mungkin pihak Perhilitan boleh memantau kawasan ini di samping disediakan pengawal atau individu yang melakukan rondaan jika terdapat ancaman monyet gunung, kerana percayalah ia memang agresif.

Umumnya, ia memang habitat semula jadinya tetapi sebagai pihak berwajib perlu lebih bertanggungjawab untuk pastikan orang ramai rasa selamat dan tidak trauma untuk datang sekali lagi ke sini.
Taman Rekreasi Gunung Lang ialah taman ekopelancongan dengan tasik buatan, air terjun buatan, dan pemandangan bukit batu kapur yang indah seperti Gunung Lang dan Gunung Bilike.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


