WASHINGTON: Seorang wanita dijadual menjalani hukuman mati di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, buat kali pertama dalam tempoh lebih 200 tahun selepas rayuan terakhirnya untuk mendapatkan pengampunan ditolak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Christa Pike, 50, dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang wanita berusia 19 tahun pada 1995. Pike berusia 18 tahun ketika itu.
Beliau merupakan satu-satunya wanita yang menunggu hukuman mati di Tennessee dan hukuman itu dijadual dilaksanakan selepas Gabenor Tennessee Bill Lee pada Isnin menolak rayuan terakhirnya untuk mendapatkan pengampunan, menurut laporan media AS.
Pike merupakan seorang daripada tiga remaja yang menyeksa dan membunuh wanita berusia 19 tahun itu berhampiran University of Tennessee di Knoxville, namun hanya beliau dijatuhi hukuman mati, menurut pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Death Penalty Information Center. Teman lelakinya yang berusia 17 tahun ketika itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Sekiranya hukuman mati terhadap Pike dilaksanakan seperti dijadualkan pada Rabu, ia akan menjadi kali pertama sejak 1819 seorang wanita menjalani hukuman mati di Tennessee, menurut Cornell Center on the Death Penalty Worldwide.
Aktivis berusaha menghentikan pelaksanaan hukuman itu, dengan Amnesty International menyatakan bahawa Pike “dirogol, mengalami keganasan seksual dan fizikal, penderaan serta pengabaian” ketika zaman kanak-kanak. Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa supaya pelaksanaan hukuman itu dihentikan.
“Saya memikirkan tentang hukuman mati ini setiap hari,” kata Pike kepada New York Times.
Hukuman mati dibenarkan di lebih dua dozen negeri di AS, walaupun dalam banyak kes ia tidak lagi dilaksanakan. Hanya dua peratus daripada banduan yang menunggu hukuman mati ialah wanita.
Menurut Death Penalty Information Center, 18 wanita telah menjalani hukuman mati sejak 1976, mewakili kira-kira satu peratus daripada keseluruhan pelaksanaan hukuman mati.
Tahun ini, 28 pesalah telah menjalani hukuman mati di AS setakat 24 Sept, menurut pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu.
Dua pertiga orang dewasa di AS menyokong hukuman mati terhadap individu yang disabitkan kesalahan membunuh, menurut tinjauan representatif terbaharu oleh Pew Research Center.
Pada masa sama, 59 peratus berpendapat hukuman mati tidak membantu mencegah individu daripada melakukan jenayah berat.
-- BERNAMA-dpa