Tempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Pahang yang sepatutnya berakhir 31 Dis ini, dilanjutkan selama enam bulan sehingga 30 Jun depan, dengan beberapa penambahbaikan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata lanjutan tempoh itu diputuskan Jemaah Menteri selepas pengumuman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penarikan semula penyitaan stockpile (simpanan stok) bauksit di Pahang.

"Pada 21 Dis lepas, SPRM mengumumkan ia akan menarik balik penyitaan stockpile bauksit dianggarkan lebih 10 juta tan selepas kementerian serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta kerajaan negeri setuju memperkenal peraturan baharu bagi mengekang isu perlombongan bauksit secara tidak sah," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, penambahbaikan itu akan dilaksanakan berdasarkan input daripada agensi berkaitan termasuk SPRM bagi memperkemas proses pemantauan pemindahan bauksit bagi tujuan eksport.

Ia merangkumi semakan terperinci bagi setiap permohonan Permit Kelulusan (AP) bauksit termasuk kedudukan dan jumlah stockpile yang akan dieksport berdasarkan kelulusan kerajaan negeri dan ulasan teknikal JMG selain pindaan terhadap Peraturan-peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 bagi melancarkan proses pemindahan bauksit bagi tujuan eksport.

Dengan penarikan balik penyitaan itu, menurut kenyataan itu, kementerian bersetuju mempertimbangkan permohonan eksport bauksit dalam tempoh moratorium bagi keadaan tertentu.

Ia termasuk mengosongkan stockpile bauksit berada di Pelabuhan Kuantan, Pahang dan Kemaman, Terengganu; syarikat yang telah membayar royalti kepada kerajaan negeri namun belum menjalankan aktiviti pengeskportan; dan mengangkut stockpile bauksit di tapak cadangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baharu di Kota SAS di Kuantan, berdasarkan kelulusan kerajaan negeri.

-- BERNAMA