KUALA LUMPUR:Lanjutan pelaksanaan moratorium tidak bersasar pada kadar berpanjangan dikhuatiri akan menjejaskan pengaliran kewangan institusi perbankan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata biarpun kedudukan kewangan institusi perbankan pada ketika ini berada dalam keadaan yang baik, mereka tidak harus leka dengan keselesaan itu.

“Kedudukan kewangan institusi perbankan pada ketika ini berada dalam keadaan yang kuat dan boleh memberi moratorium, tetapi kami tidak boleh leka kerana kami perlu faham bahawa institusi perbankan, ia seolah-olah jantung bagi satu badan.

“Dengan institusi perbankan ini, aliran tunai yang berlaku seolah-olah mengepam darah kepada organ-organ badan. Itu peranan bank.


“Jika moratorium tidak bersasar dilaksanakan pada kadar berpanjangan, dikhuatiri proses ‘pengaliran darah’ akan terganggu,” kata Dr Mohd Afzanizam kepada Astro AWANI pada Khamis.

BACA: Moratorium: Lanjut atau sedia skim kurangkan bayaran bulanan - RinggitPlus

Beliau berkata dalam erti kata lain, situasi peningkatan kecairan boleh memberikan kesan kepada pihak bank.

“Situasi kecairan ini akan memberikan kesan kepada pihak bank.

“Ia boleh merencatkan ekonomi, seperti apa yang kami alami pada masa lepas apabila kami mengalami krisis kewangan pada 1997,” katanya.

Moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik diumumkan kerajaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama enam bulan berakhir 30 September lalu dan disambung hingga Disember ini secara bersasar.