MALAYSIA
Moratorium terhadap projek kediaman di KL lebih banyak implikasi negatif - Dr Zaliha

Dr Zaliha pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan moratorium terhadap projek kediaman di Kuala Lumpur lebih banyak menimbulkan implikasi negatif, biarpun laporan Jabatan Perangkaan mengunjurkan bandaraya ini bakal mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, selain menjadi bandar dengan kemuncak penduduk, Kuala Lumpur juga akan menjadi kawasan paling awal memasuki fasa masyarakat menua.
Namun cadangan moratorium boleh membawa kepada penurunan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) KL yang bergantung kepada pembinaan dan perkhidmatan berkaitan hartanah.
Selain itu, beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga dikhuatiri akan mempunyai hasil kutipan fi berkaitan pembangunan yang lebih rendah, selain peningkatan harga hartanah dan kadar sewa yang terus meningkat.“Hakikatnya, keperluan perumahan di Kuala Lumpur masih ada. Menjelang tahun 2040, penduduk di ibu kota ini, diunjur akan mencecah 2.35 juta orang, dengan keperluan lebih kurang 783 ribu unit rumah baharu.
“Atas prinsip menjamin keseimbangan sosial di Kuala Lumpur, daripada jumlah ini, 40% rumah yang dibina mestilah mampu milik dan inklusif, termasuk untuk warga emas, OKU, belia serta skim sewa bersubsidi bagi golongan berpendapatan rendah,” katanya lagi.
Terdahulu Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman ingin mengetahui jika Kerajaan bercadang meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di Kuala Lumpur memandangkan laporan Jabatan Perangkaan menyebut bandaraya ini akan mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031 iaitu, iaitu 28 tahun lebih awal daripada unjuran nasional.
Dalam pada itu Dr Zaliha berkata, DBKL telah mencadangkan pelaksanaan perancangan bangunan kediaman yang lebih bersasar dengan menekankan zon gunatanah dan tahap intensiti pembangunan, termasuk di kawasan TPZ (Transit Planning Zone) dan TIZ (Transit Influence Zone) seperti yang digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040.
Melalui pendekatan tersebut, beliau berkata, setiap pembangunan dapat diselaraskan mengikut kapasiti, fungsi dan peranan kawasan, sekali gus menyanggah keperluan melaksanakan moratorium.
“DBKL turut melaksanakan kawalan pembangunan berpandukan data (nota: data-driven development control) dan daya tampung kawasan (nota: capacity-based planning), iaitu kaedah yang lebih berkesan berbanding moratorium.
“Pendekatan ini memastikan pertumbuhan bandar terkawal dan mampan dengan menggalakkan pembangunan semula berorientasikan transit (TOD) di lokasi strategik, mengawal peluasan bandar secara mendatar (urban sprawl), serta menilai kapasiti infrastruktur dan kemudahan awam secara berterusan,” katanya lagi.
Dalam mengawal keseimbangan dalam penawaran kediaman dan juga pembangunan infrastuktur, Dr Zaliha berkata, kerajaan telah menerapkan konsep MADANI dengan memastikan kemudahan jalan raya, pengangkutan awam, pusat kesihatan, sekolah dibina seiring dengan projek perumahan baharu.
Pendekatan terrsebut, jelasnya lagi bukan sahaja menjamin keselesaan malah mengelakkan kesesakan kekurangan kapasiti sekolah atau kelewatan penyediaan kemudahan asas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami