KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri sedang membangunkan kod etika dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI).

Menerusi hantaran di laman Facebook, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kod etika serta tadbir urus itu akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada 2024.

Beliau berkata, pada masa sama, MOSTI meneliti keperluan mewujudkan rangka kerja perundangan dan Akta AI.

"Minggu ini, dalam sidang Dewan Rakyat ada persoalan dibangkitkan mengenai pemantauan penggunaan teknologi AI iaitu satu teknologi yang kompleks dan proses pengawalan dan pemantauannya melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard/piawaian.

"Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mengandungi Tujuh Prinsip AI yang bertanggungjawab dan Tujuh Prinsip AI tersebut adalah senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai serta bertanggungjawab seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu daripada penyalahgunaan," katanya.

Chang berkata, Jabatan Standard Malaysia (JSM) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Cermin Kebangsaan bagi menghasilkan standard/piawaian AI kebangsaan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh MIMOS dan keahliannya adalah terdiri daripada wakil kementerian, agensi, akademia serta industri.

"Penggunaan standard dan perundangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Kebergantungan kepada aspek perundangan semata-mata dalam pengawalan dan pemantauan teknologi AI akan merencatkan inovasi teknologi ini," katanya. - BERNAMA