IPOH: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membantu pencipta inovasi untuk mempatenkan ciptaan mereka, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Menterinya Chang Lih Kang berkata, ia termasuk idea dan teknologi yang boleh dikomersialkan.

Menurutnya, ia selaras dengan matlamat kementerian untuk menjadikan Malaysia pengeluar teknologi, bukan sekadar pengguna, menjelang 2030.

“Sekiranya ada idea yang boleh dikomersialkan, memang ada kemungkinan juga MOSTI akan membantu untuk daftar IP (hak harta intelektual).

“Memang mengikut pengalaman kami, ada banyak idea yang sangat menarik. Walaupun mungkin ia dari peserta remaja di peringkat sekolah menengah, tetapi memang ada idea yang sangat-sangat menarik.

“Jadi, saya rasa, ia adalah sesuatu yang amat berharga untuk negara kita. Idea tu sangat penting,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Galakan kepada pemenang Pertandingan Youth Science Fairs di Bali, Indonesia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Teja, Gopeng, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Sandrea Ng yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak.

Menurut Chang, dalam usaha untuk membudayakan sains dan teknologi, MOSTI menggalakkan pencipta inovasi, terutamanya yang mengambil bahagian dalam program flagship kementerian, untuk mempatenkan hasil ciptaan mereka.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan insentif RM5,000 kepada SMK Seri Teja yang mendapat pingat emas dalam kategori kejuteraan melalui ciptaan yang dinamakan SAVASE atau 'save the earth with a vase'.

Inovasi SAVASE ialah bekas semaian mesra alam menggantikan plastik polybag dengan sistem siraman automatik yang dapat mengesan kelembapan tanah serta mengeluarkan emoji senyum atau sedih serta bunyi jika tanah lembap atau kering.