MALAYSIA
MOSTI gariskan hala tuju perkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi - Chang

Chang Lih Kang berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal ke-10 (ICSSST 2025), di Cameron Highlands, malam tadi. - Gambar Bernama
CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kekal komited memperkukuh keseluruhan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, MOSTI memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi, pemangkin kerjasama antara industri dan akademia serta pendorong inovasi yang mampu meningkatkan daya saing global Malaysia sambil memastikan pembangunan mampan.
"Kepada semua peserta sama ada yang hadir untuk membentang, menimba ilmu atau menjalin rangkaian, saya menggalakkan anda terlibat secara mendalam, mencabar andaian sedia ada dan membentuk kerjasama yang bakal menentukan masa depan.
"Semoga idea yang dikongsi sepanjang minggu ini mencetuskan penyelesaian berani dan inovatif yang akan menggerakkan Malaysia, serta dunia, ke hadapan," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal ke-10 (ICSSST 2025), di sini, malam tadi.Beliau turut merakam penghargaan kepada penganjur utama ICSSST 2025 iaitu Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) atas dedikasi mereka memajukan bidang sains keadaan pepejal di negara ini.
UPM dengan kerjasama MOSTI dan MASS menganjurkan ICSSST 2025 bertemakan "Unlocking New Horizons in Material Innovation" dari 26 hingga 27 Sept di sebuah hotel, di sini.
Chang berkata, tema ICSSST 2025 amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam bidang bahan termaju, semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi baharu lain, selain menarik penyertaan 146 delegasi dari dalam dan luar negara.
"Ia bukti pengiktirafan antarabangsa yang tinggi terhadap persidangan ini. Kami berbesar hati menyambut rakan-rakan antarabangsa dari Indonesia, Jepun, Nigeria, Pakistan dan Taiwan, bersama penyelidik, ahli akademik, pelajar serta wakil industri terkemuka Malaysia," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains UPM yang juga penasihat ICSSST 2025, Prof Madya Dr Nor Azwady Abd Aziz, mewakili Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, tema persidangan itu selaras dengan aspirasi Malaysia di bawah kerangka Industri 4.0 dan Malaysia MADANI.
"Seperti yang kita sedia maklum, nanosains dan nanoteknologi kini bukan lagi bidang baharu di makmal semata-mata, malah diiktiraf sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan. ICSSST 2025 menyediakan platform penting untuk meneroka dan membincangkan kemajuan dalam sains keadaan pepejal.
"Ia menghimpunkan pemikir hebat dari seluruh dunia untuk berkongsi penyelidikan terkini, bertukar idea dan menggalakkan kerjasama, malah lebih daripada itu, ia menjadi ruang bagi menterjemah ilmu kepada impak nyata yang memperbaiki kehidupan, memperkukuh industri serta meningkatkan daya saing global," katanya.
Pada majlis malam tadi, ICSSST 2025 turut menyampaikan beberapa anugerah termasuk MASS International Excellence Award 2025 kepada Prof Dr Muralidhar Miryala, MASS Honorary Fellow Member kepada Prof Datuk Dr Roslan Abd Shukor dan MASS Lifetime Achievement Award kepada Prof Dr Abdul Halim Shaari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami