PUTRAJAYA:Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Malaysia Grand Challenge (MGC) sebagai usaha menggalakkan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak RM220 juta diperuntukkan untuk lima skim Dana Pembiayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU).

Ia masing-masing membabitkan Dana Penyelidikan Strategik (SRF); Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1); Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2); Dana Bridging (BGF); dan Dana Applied Innovation (AIF).

“Dana pembiayaan penyelidikan dan pembangunan ini akan memantapkan ekosistem R&D&C&I dalam negara bagi mencapai sasaran 3.5 peratus Perbelanjaan Dalam Negara Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Dana ini juga akan menyelesaikan isu-isu utama negara meliputi kesihatan, alam sekitar, makanan, akses kepada teknologi dan keselamatan,” katanya ketika melancarkan MGC di bangunan MOSTI, di sini, hari ini.

Ujar Khairy, dana tersebut akan diperluaskan kepada para pemohon dari kalangan syarikat pemula (startups) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui agensi-agensi di bawah kementerian.

Menerusi dana tersebut, SRF menawarkan sehingga RM15 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat multinasional untuk tempoh 36 bulan bagi produk yang mempunyai tahap kesediaan teknologi (TRL) 3 hingga 9.

Sementara, TeD 1 menawarkan sejumlah RM1 juta dalam tempoh 24 bulan untuk TRL 2 hingga 4.

Manakala, TeD 2 pula sebanyak RM3 juta dalam tempoh 36 bulan bagi trl 4 hingga 7; BGF sebanyak RM4 juta dalam tempoh 36 bulan untuk TRL 7 hingga 9; sementara  AIF sebanyak RM500,000 dalam tempoh 12 hingga 18 bulan untuk TRL 2 hingga 4.

Ia disalurkan menerusi agensi kementerian antaranya Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Technology Development Corporation dan Malaysia Venture Capital Management Berhad.

Turut terlibat dalam pembiayaan dana itu ialah Malaysia Debt Venture, Kumpulan Modal Perdana, NanoMalaysia Bhd serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).