PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menilai tahap keselamatan projek rintis perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Perak dengan memeriksa teknologi dan teknik yang digunakan.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, ini kerana projek rintis berkenaan akan menjadi penanda aras sebelum mineral tersebut dibangunkan sepenuhnya.

"Langkah ini bagi mengelakkan isu pencemaran air bawah tanah atau isu alam sekitar yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan kerajaan bagi memastikan tiada sebarang isu pencemaran dan alam sekitar berlaku pada projek rintis berkenaan.

Dalam pada itu, Lih Kang menyokong Dasar Larangan Eksport Bahan Mentah Nadir Bumi yang akan dibangunkan kelak bagi menjamin pulangan maksimum buat negara khususnya industri hiliran.

"Jika kita hanya eksport bahan mentah seperti ini, ia tidak akan membantu industri nadir bumi negara," katanya.

Beliau berkata, keputusan tersebut tidak akan menjejaskan pengoperasian syarikat nadir bumi Australia Lynas di Kuantan.

Ini kerana katanya, Lynas merupakan isu berasingan dan perkara itu boleh dipertimbangkan selagi pihak terlibat boleh menguruskan sisa buangan dengan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membangunkan dasar larangan tersebut selain Dasar Mineral Negara baharu turut dirangka.

Langkah itu bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban. - Sinar Harian