KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini dalam usaha memperkukuhkan ekosistem vaksin negara bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata antara langkah yang diambil untuk merealisasikan matlamat itu ialah menghasilkan vaksin manusia sepenuhnya melalui pengukuhan rangkaian kerjasama strategik antara agensi dan pihak industri termasuk di peringkat antarabangsa.

"Satu perbincangan bersama pihak industri juga telah dilakukan semalam antara lain untuk memastikan latihan berkaitan penghasilan vaksin manusia turut melibatkan pihak berkepentingan lain. Ini kerana penyediaan kapasiti di peringkat pembuatan merupakan satu daripada elemen penting dalam penghasilan vaksin.

"Hubungan dengan pihak industri ini juga penting bagi menyediakan platform kepada saintis di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) untuk mendapatkan latihan secara terus dengan pihak pengeluar vaksin dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini semalam.

Sementara itu, Chang berkata MIMOS telah memfailkan pendaftaran 1,387 paten kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) setakat Oktober lepas.

Menurutnya sebanyak 959 turut dipaten di peringkat antarabangsa di bawah Perjanjian Kerjasama Paten (PCT) dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).

"Daripada jumlah ini, sebanyak 343 paten telah dikomersialkan kepada industri melalui pelaksanaan projek penyelesaian ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) kepada sektor awam dan swasta," katanya.

-- BERNAMA