KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan sebanyak 10,000 penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV2 akan dapat dicapai melalui beberapa program penyelidikan yang dirangka.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, dana sebanyak RM3.2 juta telah diluluskan di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek penjujukan genom virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus penyebab penyakit COVID-19.

"Projek ini dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARSCoV-2 yang amat penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 terutamanya variant of concern (VOC) seperti varian Delta serta juga variant of interest (VOI) seperti varian Lambda dan Mu," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Dr. Adham berkata, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta kepada konsortium merangkumi 7 makmal di bawah MOSTI, Kementerian Kesihatan dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi, di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Jelasnya, konsortium ini berperanan untuk memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan.

"Makmal-makmal tersebut adalah Malaysia Genome Institute (MGI), MOSTI; Institute for Medical Research (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia; UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI); Tropical and Infectious Diseases Research Centre (TIDREC) di Universiti Malaya;

"Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya; Institute iPROMISE Universiti Teknologi Mara; dan Institute of Health and Community Medicine dari UNIMAS.

"Melalui program ini, kapasiti ujian telah berjaya ditingkatkan sebanyak lima kali ganda, dengan jumlah ujian bagi ketujuh-tujuh makmal tersebut melebihi 1,000 ujian genom sebulan (berbanding dengan 200 sebulan sebelum ini)," ujarnya.