KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melaksanakan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Familiarisation Trip pada tahun ini bagi memperkasakan sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata usaha itu akan melibatkan pempengaruh media sosial dan wakil-wakil media dari Indonesia dan Thailand.

"IMT-GT Familiarisation Trip ini adalah bagi memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang terdapat di Malaysia kepada pelancong dari Indonesia dan Thailand," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Tiong berkata kementerian itu juga sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengembalikan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ketika ini diselia oleh Jabatan Imigresen kepada MOTAC.

Beliau berkata kementerian itu mampu memainkan peranan sebagai pusat sehenti yang akan memberi fokus pada proses permohonan program serta mempromosikan aktiviti sektor pelancongan negara manakala kelulusan permohonan masih tertakluk kepada KDN.

Program MM2H adalah satu inisiatif kerajaan bagi individu bukan warganegara untuk bersara dan menetap di Malaysia.

Tiong berkata MOTAC akan terus komited membantu industri pelancongan negara termasuk dalam usaha melipatgandakan persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2025.

-- BERNAMA