LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meluluskan lebih RM32 juta peruntukan tahun ini bagi pembangunan serta menaik taraf fasiliti pelancongan di negara ini.

Menterinya Datuk Nancy Shukri berkata perkara itu selari dengan usaha kementerian untuk memperluaskan Zon Pelaburan Pelancongan Khas di setiap negeri yang akan menarik lebih ramai kemasukan pelancong ke Malaysia.

"Kita mahu memastikan semua kemudahan infrastruktur ada, dan kita juga mahu menaik taraf dari sudut tempat untuk pelancong berkunjung, selain berkaitan tempat kraftangan bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program MOTAC Bersama Komuniti di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut memerlukan kerjasama kementerian lain untuk menaik taraf infrastruktur asas misalnya jalan masuk ke destinasi pelancongan bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

Dalam pada itu, Nancy berkata pelabur tempatan di setiap negeri digalakkan terlibat secara langsung dengan bidang pelancongan, dan kementeriannya akan berbincang dengan kerajaan agar pelabur terlibat mendapat manfaat seperti insentif potongan cukai.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu katanya MOTAC meluluskan RM2.2 juta kepada 217 badan bukan kerajaan kebudayaan di negara ini pada tahun lalu bagi tujuan penyemarakkan industri seni, budaya dan warisan negara.

Menurutnya daripada jumlah itu sebanyak RM582,500 merupakan bantuan pentadbiran secara sekali bayar kepada 187 persatuan yang aktif namun terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya MOTAC bertanggungjawab dan berperanan terhadap seni budaya dan warisan, dan sentiasa komited membantu dalam memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan serta pemain industri bagi merancakkan semula industri seni budaya negara.

-- BERNAMA