MALAYSIA
Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis rancakkan pelancongan, ekonomi Perlis

Abu Bakar berkata, selain mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan air, Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. - Foto Tourism of Perlis Official
KANGAR: Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang berlangsung mulai semalam hingga 16 Sept ini menarik peserta dari 11 negara, sekali gus diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata acara utama iaitu Perlawanan Perahu Naga melibatkan pasukan dari Thailand, Brunei, Filipina serta pasukan ekspatriat mewakili Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.
"Secara keseluruhan, sebanyak 55 pasukan termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pasukan antarabangsa menyertai kategori perahu naga, menjadikan penganjuran kali ini antara yang terbesar pernah diadakan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian di Kuala Perlis dekat sini malam tadi.
Perasmian itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.Abu Bakar berkata selain mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan air, pesta berkenaan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya pengusaha makanan, penginapan, kraf tangan serta perkhidmatan pelancongan.
"Acara sebegini memberi peluang kepada peniaga kecil dan komuniti tempatan untuk meraih pendapatan tambahan menerusi kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.
Pertandingan perahu tradisional membabitkan 15 kampung sekitar Kuala Perlis dan pelbagai sukan rakyat seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan menjala ikan turut dianjurkan bagi mengekalkan identiti tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami