KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terutamanya Tourism Malaysia kini telah bersiap sedia untuk meraikan pelancong dari luar negara yang bakal memasuki Malaysia susulan pembukaan sempadan mulai esok.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata masa yang dinantikan telah tiba buat industri pelancongan di negara ini untuk kembali rancak seperti pra-pandemik COVID-19.

"Sektor pelancongan paling terjejas akibat pandemik, sudah tentu kita sangat teruja untuk melihat pembukaan sempadan esok.

"Pada masa sama, kami juga telah bersedia untuk mendepani apa juga cabaran, pagi ini Tourism Malaysia bersama kementerian lain juga telah mengadakan mesyuarat persediaan.

"Bukan hanya MOTAC, tetapi kementerian lain juga bersiap sedia untuk meraikan pelancong masuk ke negara ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Menandatangani Kerjasama Visa Malaysia dan Tourism Malaysia di ibu negara pada Khamis.

Tambah Nancy lagi, meskipun jangkaan awal MOTAC hanya dua juta pelancong memasuki negara, namun beliau yakin angka itu akan bertambah apabila lebih banyak negara membuka sempadan mereka.

"Masih ada negara yang belum membuka sempadan, ada juga yang masih mengenakan kuarantin kepada pelancong.

"Kita akan memerhati dalam tempoh tiga bulan ini, mungkin lebih awal daripada itu untuk melihat lebih ramai pelancong memasuki negara ini terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Kita harapkan lebih ramai pelancong datang ke Malaysia, lebih daripada jangkaan kita untuk kebaikan industri pelancongan dan ekonomi negara," katanya lagi.