MoU bukan bermaksud pembangkang sudah masuk kerajaan - Wan Saiful Wan Jan

Astro Awani
September 14, 2021 05:34 MYT
Wan Saiful menyatakan penghargaan kepada Blok Pembangkang yang mengubah pendirian mereka untuk menerima persefahaman.
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai semalam bukan bermaksud pembangkang sudah masuk dalam kerajaan atau dilantik dalam badan atau agensi eksekutif selain yang telah dipersetujui, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, pembangkang masih perlu terus menjalankan tanggungjawab semak imbang dengan bertanggungjawab tetapi persefahaman tersebut akan dapat pastikan bahawa kerajaan stabil dan tidak ada lagi sesiapa yang akan mengugut kerajaan demi kepentingan peribadi.
"Persefahaman ini akan memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong apa-apa usul yang boleh dilihat sebagai penolakan kepada kerajaan tanpa menghilangkan kebebasan pembangkang untuk membawa idea-idea lain serta mempersoal kerajaan dalam perkara-perkara dasar,
"Dan ia juga tidak bermaksud kerajaan boleh buat apa sahaja tanpa semak imbang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang
MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.
Selain itu, tiga lagi agenda adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Wan Saiful dalam masa sama turut menyatakan penghargaan kepada Blok Pembangkang yang mengubah pendirian mereka untuk menerima persefahaman itu.
"Sebelum ini mungkin mereka menolak sebab cuba mengejar kerusi Perdana Menteri. Tetapi hari ini kita semua boleh ketepikan dahulu perseteruan politik dan letakkan kepentingan rakyat di hadapan. Alhamdulillah. ," katanya.
#MoU #Pakatan Harapan #pembangkang #kerajaan #Perikatan Nasional #Wan Saiful Wan Jan