MALAYSIA
MoU Grid Tenaga ASEAN dipertingkat tumpukan peraturan, keperluan teknikal - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi dialog Ekosistem Tenaga Masa Depan Asia sempena Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dipertingkatkan, yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini akan memfokuskan kepada penyeragaman peraturan dan kawal selia, menyelaraskan keperluan teknikal dan mewujudkan model kewangan.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata MoU Grid Tenaga ASEAN (APG) baharu akan dimuktamadkan akhir tahun ini, fokus pada penyelarasan peraturan, teknikal dan model kewangan.
- Malaysia komited memperkukuh kerjasama tenaga ASEAN, gabungkan sumber seperti hidro, solar dan tenaga lautan.
- ASEAN pertimbang tubuh pengawal selia serantau dan rancang projek kabel tenaga bawah laut bagi eksport tenaga.
APG yang diperkenalkan pada 1997 adalah inisiatif di seluruh rantau untuk menghubungkan infrastruktur elektrik antara 10 negara anggota ASEAN yang menyasarkan untuk mencapai operasi grid bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 komited untuk meningkatkan kesalinghubungan tenaga serantau dan mempercepat pembangunan APG.
"Vietnam, Kemboja dan Laos mempunyai hidrokuasa dan angin. Malaysia mempunyai solar, dan Indonesia mempunyai tenaga lautan.
"Jika semua negara ASEAN bekerjasama dengan populasi kita yang besar dan gabungan sumber tenaga, kita boleh menjadi antara pembekal tenaga boleh baharu yang terkemuka di dunia," katanya.
Selain itu, beliau berkata ASEAN sedang mempertimbangkan keperluan untuk pengawal selia serantau memperkemas pembangunan dan memastikan peraturan yang seragam dalam kalangan negara anggota.
"Satu daripada idea yang sedang kita kaji sekarang adalah sama ada kita memerlukan apa yang kita katakan sebagai pengawal selia ASEAN, oleh itu, kita mempunyai satu entiti yang melihat perkara ini dari sudut pandang semua anggota ASEAN," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 mengenai tenaga yang bermula hari ini menyasarkan untuk menyelaraskan strategi tenaga serantau dan memperteguh kerjasama mengenai keutamaan bersama.
Mesyuarat tiga hari itu akan memberikan tumpuan kepada dua keutamaan penting terutamanya memperbaharu MoU APG dan mewujudkan rangka kerja untuk projek kabel tenaga bawah laut.
Menurut Setiausaha Agung Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mad Zaidi Mohd Karli MoU APG yang dikemas kini itu adalah kunci untuk meningkatkan kesalinghubungan elektrik rentas sempadan dan memperkukuh keselamatan tenaga serantau.
Mesyuarat itu akan turut membincangkan mengenai draf garis panduan bagi projek kabel bawah laut, termasuk rancangan untuk mengeksport hidrokuasa dari Sarawak ke kawasan yang mempunyai permintaan tinggi di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami