MoU kerajaan, pembangkang jadi dokumen awam, bukti ketelusan kepada rakyat

Firdaus Azil
September 14, 2021 06:13 MYT
Melalui persefahaman tersebut, tempoh masa bagi ia berkuatkuasa bermula tarikh dokumen itu ditandatangani, iaitu bermula 13 Sept 2021, sehingga tarikh pembubaran Parlimen Malaysia Ke-14. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam transformasi telah dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah diterbitkan kepada umum di laman web Parlimen, hari ini.
Melalui persefahaman tersebut, tempoh masa bagi ia berkuatkuasa bermula tarikh dokumen itu ditandatangani, iaitu bermula 13 September 2021 sehingga tarikh pembubaran Parlimen Malaysia Ke-14.
Selain itu, MoU itu turut menyebut, kegagalan menunaikan dan melaksanakan klausa-klausa tertentu serta mana-mana transformasi yang digariskan, adalah satu pelanggaran dan boleh mengakibatkan penamatan perjanjian berkenaan.
BACA: Transformasi Parlimen dan Kerajaan: MoU buka lembaran baharu sejarah negara
BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang
Antara persefahaman yang dicapai melalui MoU yang bersejarah itu ialah: “Kerajaan hendaklah berusaha dengan ikhtiar terbaik melaksanakan setiap satu dan segala Transformasi yang dicadangkan dan dalam aturan masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.”
“Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022,” menurut perjanjian itu lagi.
MoU tersebut ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala Pembangkang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden Amanah), dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).
Dalam pada itu, sebagai balasan kepada penunaian dan pelaksanaan Transformasi yang digariskan, MoU itu menyebut, Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara mengikut masa material.
Antara lain, PH bakal mengambil pendirian sama ada menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022, termasuk undang-undang pembekalan atau kewangan berkaitan, selepas proses penggubalan itu dirundingi, dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.
Selain itu, PH boleh menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan, atau RUU lain, yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan, atau tiada keyakinan terhadap Kerajaan, selepas proses penggubalan itu dirundingi, dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.
Selain itu MoU berkenaan menyebut, kandungannya akan didedahkan kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban kedua-dua pihak.
Enam perkara tesebut ialah Pemerkasaan Pelan COVID-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
#MoU Kerajaan dan Pembangkang #transformasi #Parlimen #politik